Tuesday 27 January 2015

Hakikat Perlumbaan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Jari menaip sedang masa berjalan. Cuba memikirkan apa yang masih boleh disumbang dengan amalan yang kurang. Dengan masa yang makin singkat sebelum bertemu Ilahi, diri ini masih mencuba untuk mengubah diri. Proses yang panjang dan sarat dengan kepayahan, aku gagahkan demi redha Tuhan.

Andai perubahan itu mudah, pastinya mereka berbadan besar mampu untuk jadi kurus dalam masa sehari dua. Andainya perubahan itu mudah, pastinya setiap perokok mampu berhenti merokok andai mereka risaukan kesihatan mereka yang dipinjamkan Allah. Andainya perubahan itu mudah, pastinya tiada yang membunuh diri kerana putus cinta dan sebagainya. Namun kita hidup bukan dalam fantasi, tetapi berpijak di bumi realiti.

Sejak kecil kita di ajar oleh realiti bawah untuk jatuh lebih mudah dari berdiri. Kita dilahirkan dalam keadaan tidak mampu berjalan dan diikuti proses merangkak. Merangkak yang mana similar dengan situasi seorang yang jatuh. Nah, sejak kecil pon Allah sudah tunjuk pada kita bahawa jatuh itu lebih mudah dan andai perubahan itu mudah, pasti seorang bayi mampu berjalan ketika umurnya masih beberapa bulan. Tapi sejak kecil kita ditarbiah oleh Ilahi, bahawa untuk berubah perlukan masa.

Setiap mereka yang berlari mengejar redha Ilahi, pasti pernah tersungkur. Namun apa yang membezakan seorang yang berjaya atau tidak adalah mampukah dia bangun dan kembali berlari? Atau mungkin sudah cukup baik untuk kembali berjalan. Sunatullah jatuh itu sendiri menyakitkan dan menghilangkan tenaga, mematahkan semangat. Andai bisa kita bingkas bangun kembali dan cuba berlari, namun pastinya terdapat luka dan parut semalam, yang mana mampu menarik anda ke bumi sekali lagi dan jatuh tersembam.

Kalau begitu, sudah pasti tiada yang akan berjaya. Untuk berlari menggapai ke destinasi Mardhotillah. Tak begitu? Di situ bezanya seorang hamba yang berjaya dan sebaliknya. Apabila dia sedar bahawa perlumbaan ini bukan atas dasar qudrat sendiri, namun bergantung besar kepada rahmat Ilahi.

Kita ambil satu analogi. Seorang pelajar jurutera yang ingin menduduki peperiksaan. Pada malam berikutnya, dia mengambil minuman tenaga agar diberi tenaga lebih untuk tidak tidur dan mengulang kaji pelajaran. Andai untuk mengharungi ujian yang dicipta manusia pon kita perlukan tenaga lebih, apa pula ujian Allah yang berterusan ini? Di situ datangnya doa. Doa yang berterusan lah tenaga kita yang berpanjangan, lebih kuat tenaganya andai dibuat pada tengah malam berserta air mata.

Jangan biarkan diri kita terus terleka. Saban hari kita melihat manusia pergi tanpa sempat bertaubat. Alangkah ruginya kita jika termasuk dalam golongan ini. Namun bukan golongan ini sahaja yang rugi. Mereka yang berlari dengan memikirkan kudrat mereka sahaja sudah cukup untuk membawa mereka ke syurga. Sedang mereka silap. Umpama mereka berlari menaiki anak tangga yang beribu, namun lupa untuk membawa kunci kepada pintu. Kerana kunci pintu syurga adalah rahmat Allah, inilah hakikat.

Jadi buat kita semua yang dalam perlumbaan, teruskan larian. Buat mereka yang sering jatuh jangan bersedih, Allah bersama kalian. Tajdid niat kembali, lakukan ini semua kerana Ilahi. Berubahlah walaupon bukan mudah, berlarilah berlawan penat dan lelah. Jangan kita terlalu leka dengan dunia, kerana usia kita terlalu singkat. Sedarlah, dunia adalah penjara mukmin dan syurga kafir

 Tetiba teringat quote yang sering diulang masa di sekolah dulu "Mujahadah itu pahit, kerana syurga itu indah"

Buat pendosa, harapan masih ada!

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. 'Andai perubahan itu mudah, pastinya mereka berbadan besar mampu untuk jadi kurus dalam masa sehari dua'

    deep.haha

    ReplyDelete