Sunday 1 February 2015

Pembakar Diri

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Hanya coretan hati sebagai peringatan. Semoga menjadi nasihat untuk diri sendiri ini yang dhaif dan mereka yang membaca. Allahumma amin

Minggu yang busy dengan exam ni sangat la merumitkan. Mungkin sebab freshman lagi so masih lemah lagi kot handle stress nak hadap 3 exam dalam seminggu ni. Tapi takpela, busy mana pon kita dengan pelajaran, iman kena jaga jugak bro. Sebab tu lately rasa nak selalu update blog, sebagai nasihat untuk diri sendiri bila iman goyang nanti.

Bila masuk cerita exam, tak lari la pasal result. Tiada pisah lagi dah antara benda ni. Ada orang tak kesah pon pasal markah diri sendiri. Hairan sungguh. Ada orang tu kesah sungguh sampai nak berlawan lawan dengan kawan sendiri sampai tak sedar memakan diri. Orang kata nak dengki dalam benda baik takpe, supaya rasa semangat nak belajar. Tapi kita kena hati-hati jugak bro, takut-takut membakar diri. Apa yang bakar diri? Hasad.

Orang putih kata "peer pressure". Kita panggil persaingan la senang. Bagus benda ni bukan tak bagus, tapi bila jadi tak syoknya dalam hati ni ada hasad. Apa tu hasad? Hasad ni rasa tak senang dengan nikmat yang Allah bagi kat orang lain sampai nak pertikaikan urusan Allah. Contohnya macam tadi la, markah peperiksaan. Kita sedih tengok kawan dapat markah hebat hebat sokmo sedangkan kita biasa je. Kita mula rasa tak senang duduk. Kita resah, kita gelisah dan mula mempersoalkan Tuhan dengan kesenangan yang seseorang dapat. Pernah tak rasa macamtu?

Boleh ke tak nak rasa macamni? Sedangkan kita taktahu betapa orang tu berusaha untuk dapatkan keputusan sedemikian. Kita hanya tahu menilai dari perspektif keputusan dan bukan usaha, andai lah kita bandingkan usaha kita dan dia, mungkin baru jadi lebih rasional kenapa keputusan dia lebih baik. Tapi andai kata kita lebih berusaha tetapi markah dia lebih baik, pasti ada banyak faktor lain.

Ada ke solusi? Solusinya mungkin mudah nak hadam tapi susah nak amal. Kita kena ingat, Allah Maha Adil bros and sisters sekalian. Dengan kita saling ingatkan diri sendiri dengan benda ni, insya Allah hati lebih terjaga. Terjaga daripada hasad yang membakar diri, membakar amal kita selama ni.

Setiap kali kita nampak orang lain dapat nikmat yang kita tak dapat, selalu ingatkan diri Allah maha adil. Bukan setakat nikmat je tapi musibah pon sama. Bila kita mula terasa nak timbul hasad tu, cecepat sedapkan diri dengan cakap mungkin rezeki aku dekat tempat lain. Setiap kali nak mai dah hasad tu, cecepat istighfar dan ingatkan diri Allah tu adil, kalau kita tak dapat nikmat kat sini, kat sana nanti adalah tu. Jangan kita asyik guna perkataan "untunglah", seolah nampak macam kita ni tak bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi untuk diri kita sendiri. Apa selama ni Allah dah bagi oxygen berterusan tak pernah pulak kita nak bersyukur, tetiba tengok nikmat orang lain mula nak persoalkan Allah. hmm *note to self

 Andai harini dia dapat nikmat, mungkin itu adalah hadiah Allah atas perkara baik yang dia buat, mungkin juga itu hadiah Allah untuk setiap ujian yang dia bersabar, mungkin jugak itu adalah hadiah dari Allah atas segala usaha yang dilakukan. Mungkin belum tiba masa kita lagi untuk dapat 'hadiah' tersebut, maka bersabarlah. Mungkin  pulak terlalu banyak dosa kita yang menghalang untuk mendapat 'hadiah' daripada Allah, mungkin tu la tandanya kena cepat cepat taubat.
 
Kenapa hendak berhasad sedangkan semua orang ada bahagian dia masing-masing. Kita sebagai hamba jangan mempersoalkan. Adakah kita taktahu bahawa Allah lebih mengetahui apa yang teramat baik untuk kita? Bukankah dia pencipta kita? Pastinya dia lebih mengetahui.

Sudah sedia maklum bahawa Allah sangat pemurah. Buktinya? Mereka yang kafir pon dapat merasa makan dan minum. Jadi andai kita hendak jadikan nikmat sebagai kayu ukur kebahagiaan kita, maka kita sangatlah salah. Tapi kunci kebahagiaan adalah dengan Sabar dan Syukur dengan setiap ujian dan nikmat. Boleh jadi apa yang kita rasa ujian itu adalah sebenarnya nikmat, nikmat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Boleh jadi sebuah nikmat itu adalah ujian, untuk lihat adakah kita hamba yang bersyukur atau sebaliknya. Sepanjang hidup kita takkan lari dari ujian dan nikmat, maka kitalah insan yang paling bahagia andai kita sabar dan syukur. Fasobrun Jamil

Ramai orang berjaya tapi tak pernah rasa nikmat harta dan sebagainya. Tapi Allah hadirkan mereka nikmat hati yang kental dan terus menurus menyembah tuhan. Ada yang hidup pernuh dengan harta, sedangkan nak solat lima waktu seminggu pon susah. Mungkin tak pernah lansung. Mungkin ada yang hebat dalam akademik, mungkin kita pulak dalam bidang sukan. Mungkin mereka hebat dalam tarbiah dan dakwah, tapi kita banyak harta dan sumbang ke jalan Allah. Tiada siapa yang sempurna, tapi yakinlah Allah pasti hadirkan sesuatu kelebihan bagi setiap orang. Jadi jangan kita berhasad dengki, tapi ambillah peluang untuk rasa lebih dekat dengan Allah.

"Andai kamu bersyukur, akan kami tambahkan lagi kepadamu (nikmat)..." Surah Ibrahim ayat 7. Apa tak cukup deep lagi ke ayat Allah ni?


Tuesday 27 January 2015

Hakikat Perlumbaan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Jari menaip sedang masa berjalan. Cuba memikirkan apa yang masih boleh disumbang dengan amalan yang kurang. Dengan masa yang makin singkat sebelum bertemu Ilahi, diri ini masih mencuba untuk mengubah diri. Proses yang panjang dan sarat dengan kepayahan, aku gagahkan demi redha Tuhan.

Andai perubahan itu mudah, pastinya mereka berbadan besar mampu untuk jadi kurus dalam masa sehari dua. Andainya perubahan itu mudah, pastinya setiap perokok mampu berhenti merokok andai mereka risaukan kesihatan mereka yang dipinjamkan Allah. Andainya perubahan itu mudah, pastinya tiada yang membunuh diri kerana putus cinta dan sebagainya. Namun kita hidup bukan dalam fantasi, tetapi berpijak di bumi realiti.

Sejak kecil kita di ajar oleh realiti bawah untuk jatuh lebih mudah dari berdiri. Kita dilahirkan dalam keadaan tidak mampu berjalan dan diikuti proses merangkak. Merangkak yang mana similar dengan situasi seorang yang jatuh. Nah, sejak kecil pon Allah sudah tunjuk pada kita bahawa jatuh itu lebih mudah dan andai perubahan itu mudah, pasti seorang bayi mampu berjalan ketika umurnya masih beberapa bulan. Tapi sejak kecil kita ditarbiah oleh Ilahi, bahawa untuk berubah perlukan masa.

Setiap mereka yang berlari mengejar redha Ilahi, pasti pernah tersungkur. Namun apa yang membezakan seorang yang berjaya atau tidak adalah mampukah dia bangun dan kembali berlari? Atau mungkin sudah cukup baik untuk kembali berjalan. Sunatullah jatuh itu sendiri menyakitkan dan menghilangkan tenaga, mematahkan semangat. Andai bisa kita bingkas bangun kembali dan cuba berlari, namun pastinya terdapat luka dan parut semalam, yang mana mampu menarik anda ke bumi sekali lagi dan jatuh tersembam.

Kalau begitu, sudah pasti tiada yang akan berjaya. Untuk berlari menggapai ke destinasi Mardhotillah. Tak begitu? Di situ bezanya seorang hamba yang berjaya dan sebaliknya. Apabila dia sedar bahawa perlumbaan ini bukan atas dasar qudrat sendiri, namun bergantung besar kepada rahmat Ilahi.

Kita ambil satu analogi. Seorang pelajar jurutera yang ingin menduduki peperiksaan. Pada malam berikutnya, dia mengambil minuman tenaga agar diberi tenaga lebih untuk tidak tidur dan mengulang kaji pelajaran. Andai untuk mengharungi ujian yang dicipta manusia pon kita perlukan tenaga lebih, apa pula ujian Allah yang berterusan ini? Di situ datangnya doa. Doa yang berterusan lah tenaga kita yang berpanjangan, lebih kuat tenaganya andai dibuat pada tengah malam berserta air mata.

Jangan biarkan diri kita terus terleka. Saban hari kita melihat manusia pergi tanpa sempat bertaubat. Alangkah ruginya kita jika termasuk dalam golongan ini. Namun bukan golongan ini sahaja yang rugi. Mereka yang berlari dengan memikirkan kudrat mereka sahaja sudah cukup untuk membawa mereka ke syurga. Sedang mereka silap. Umpama mereka berlari menaiki anak tangga yang beribu, namun lupa untuk membawa kunci kepada pintu. Kerana kunci pintu syurga adalah rahmat Allah, inilah hakikat.

Jadi buat kita semua yang dalam perlumbaan, teruskan larian. Buat mereka yang sering jatuh jangan bersedih, Allah bersama kalian. Tajdid niat kembali, lakukan ini semua kerana Ilahi. Berubahlah walaupon bukan mudah, berlarilah berlawan penat dan lelah. Jangan kita terlalu leka dengan dunia, kerana usia kita terlalu singkat. Sedarlah, dunia adalah penjara mukmin dan syurga kafir

 Tetiba teringat quote yang sering diulang masa di sekolah dulu "Mujahadah itu pahit, kerana syurga itu indah"

Buat pendosa, harapan masih ada!