Sunday 1 February 2015

Pembakar Diri

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Hanya coretan hati sebagai peringatan. Semoga menjadi nasihat untuk diri sendiri ini yang dhaif dan mereka yang membaca. Allahumma amin

Minggu yang busy dengan exam ni sangat la merumitkan. Mungkin sebab freshman lagi so masih lemah lagi kot handle stress nak hadap 3 exam dalam seminggu ni. Tapi takpela, busy mana pon kita dengan pelajaran, iman kena jaga jugak bro. Sebab tu lately rasa nak selalu update blog, sebagai nasihat untuk diri sendiri bila iman goyang nanti.

Bila masuk cerita exam, tak lari la pasal result. Tiada pisah lagi dah antara benda ni. Ada orang tak kesah pon pasal markah diri sendiri. Hairan sungguh. Ada orang tu kesah sungguh sampai nak berlawan lawan dengan kawan sendiri sampai tak sedar memakan diri. Orang kata nak dengki dalam benda baik takpe, supaya rasa semangat nak belajar. Tapi kita kena hati-hati jugak bro, takut-takut membakar diri. Apa yang bakar diri? Hasad.

Orang putih kata "peer pressure". Kita panggil persaingan la senang. Bagus benda ni bukan tak bagus, tapi bila jadi tak syoknya dalam hati ni ada hasad. Apa tu hasad? Hasad ni rasa tak senang dengan nikmat yang Allah bagi kat orang lain sampai nak pertikaikan urusan Allah. Contohnya macam tadi la, markah peperiksaan. Kita sedih tengok kawan dapat markah hebat hebat sokmo sedangkan kita biasa je. Kita mula rasa tak senang duduk. Kita resah, kita gelisah dan mula mempersoalkan Tuhan dengan kesenangan yang seseorang dapat. Pernah tak rasa macamtu?

Boleh ke tak nak rasa macamni? Sedangkan kita taktahu betapa orang tu berusaha untuk dapatkan keputusan sedemikian. Kita hanya tahu menilai dari perspektif keputusan dan bukan usaha, andai lah kita bandingkan usaha kita dan dia, mungkin baru jadi lebih rasional kenapa keputusan dia lebih baik. Tapi andai kata kita lebih berusaha tetapi markah dia lebih baik, pasti ada banyak faktor lain.

Ada ke solusi? Solusinya mungkin mudah nak hadam tapi susah nak amal. Kita kena ingat, Allah Maha Adil bros and sisters sekalian. Dengan kita saling ingatkan diri sendiri dengan benda ni, insya Allah hati lebih terjaga. Terjaga daripada hasad yang membakar diri, membakar amal kita selama ni.

Setiap kali kita nampak orang lain dapat nikmat yang kita tak dapat, selalu ingatkan diri Allah maha adil. Bukan setakat nikmat je tapi musibah pon sama. Bila kita mula terasa nak timbul hasad tu, cecepat sedapkan diri dengan cakap mungkin rezeki aku dekat tempat lain. Setiap kali nak mai dah hasad tu, cecepat istighfar dan ingatkan diri Allah tu adil, kalau kita tak dapat nikmat kat sini, kat sana nanti adalah tu. Jangan kita asyik guna perkataan "untunglah", seolah nampak macam kita ni tak bersyukur dengan nikmat yang Allah bagi untuk diri kita sendiri. Apa selama ni Allah dah bagi oxygen berterusan tak pernah pulak kita nak bersyukur, tetiba tengok nikmat orang lain mula nak persoalkan Allah. hmm *note to self

 Andai harini dia dapat nikmat, mungkin itu adalah hadiah Allah atas perkara baik yang dia buat, mungkin juga itu hadiah Allah untuk setiap ujian yang dia bersabar, mungkin jugak itu adalah hadiah dari Allah atas segala usaha yang dilakukan. Mungkin belum tiba masa kita lagi untuk dapat 'hadiah' tersebut, maka bersabarlah. Mungkin  pulak terlalu banyak dosa kita yang menghalang untuk mendapat 'hadiah' daripada Allah, mungkin tu la tandanya kena cepat cepat taubat.
 
Kenapa hendak berhasad sedangkan semua orang ada bahagian dia masing-masing. Kita sebagai hamba jangan mempersoalkan. Adakah kita taktahu bahawa Allah lebih mengetahui apa yang teramat baik untuk kita? Bukankah dia pencipta kita? Pastinya dia lebih mengetahui.

Sudah sedia maklum bahawa Allah sangat pemurah. Buktinya? Mereka yang kafir pon dapat merasa makan dan minum. Jadi andai kita hendak jadikan nikmat sebagai kayu ukur kebahagiaan kita, maka kita sangatlah salah. Tapi kunci kebahagiaan adalah dengan Sabar dan Syukur dengan setiap ujian dan nikmat. Boleh jadi apa yang kita rasa ujian itu adalah sebenarnya nikmat, nikmat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Boleh jadi sebuah nikmat itu adalah ujian, untuk lihat adakah kita hamba yang bersyukur atau sebaliknya. Sepanjang hidup kita takkan lari dari ujian dan nikmat, maka kitalah insan yang paling bahagia andai kita sabar dan syukur. Fasobrun Jamil

Ramai orang berjaya tapi tak pernah rasa nikmat harta dan sebagainya. Tapi Allah hadirkan mereka nikmat hati yang kental dan terus menurus menyembah tuhan. Ada yang hidup pernuh dengan harta, sedangkan nak solat lima waktu seminggu pon susah. Mungkin tak pernah lansung. Mungkin ada yang hebat dalam akademik, mungkin kita pulak dalam bidang sukan. Mungkin mereka hebat dalam tarbiah dan dakwah, tapi kita banyak harta dan sumbang ke jalan Allah. Tiada siapa yang sempurna, tapi yakinlah Allah pasti hadirkan sesuatu kelebihan bagi setiap orang. Jadi jangan kita berhasad dengki, tapi ambillah peluang untuk rasa lebih dekat dengan Allah.

"Andai kamu bersyukur, akan kami tambahkan lagi kepadamu (nikmat)..." Surah Ibrahim ayat 7. Apa tak cukup deep lagi ke ayat Allah ni?


Tuesday 27 January 2015

Hakikat Perlumbaan

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Jari menaip sedang masa berjalan. Cuba memikirkan apa yang masih boleh disumbang dengan amalan yang kurang. Dengan masa yang makin singkat sebelum bertemu Ilahi, diri ini masih mencuba untuk mengubah diri. Proses yang panjang dan sarat dengan kepayahan, aku gagahkan demi redha Tuhan.

Andai perubahan itu mudah, pastinya mereka berbadan besar mampu untuk jadi kurus dalam masa sehari dua. Andainya perubahan itu mudah, pastinya setiap perokok mampu berhenti merokok andai mereka risaukan kesihatan mereka yang dipinjamkan Allah. Andainya perubahan itu mudah, pastinya tiada yang membunuh diri kerana putus cinta dan sebagainya. Namun kita hidup bukan dalam fantasi, tetapi berpijak di bumi realiti.

Sejak kecil kita di ajar oleh realiti bawah untuk jatuh lebih mudah dari berdiri. Kita dilahirkan dalam keadaan tidak mampu berjalan dan diikuti proses merangkak. Merangkak yang mana similar dengan situasi seorang yang jatuh. Nah, sejak kecil pon Allah sudah tunjuk pada kita bahawa jatuh itu lebih mudah dan andai perubahan itu mudah, pasti seorang bayi mampu berjalan ketika umurnya masih beberapa bulan. Tapi sejak kecil kita ditarbiah oleh Ilahi, bahawa untuk berubah perlukan masa.

Setiap mereka yang berlari mengejar redha Ilahi, pasti pernah tersungkur. Namun apa yang membezakan seorang yang berjaya atau tidak adalah mampukah dia bangun dan kembali berlari? Atau mungkin sudah cukup baik untuk kembali berjalan. Sunatullah jatuh itu sendiri menyakitkan dan menghilangkan tenaga, mematahkan semangat. Andai bisa kita bingkas bangun kembali dan cuba berlari, namun pastinya terdapat luka dan parut semalam, yang mana mampu menarik anda ke bumi sekali lagi dan jatuh tersembam.

Kalau begitu, sudah pasti tiada yang akan berjaya. Untuk berlari menggapai ke destinasi Mardhotillah. Tak begitu? Di situ bezanya seorang hamba yang berjaya dan sebaliknya. Apabila dia sedar bahawa perlumbaan ini bukan atas dasar qudrat sendiri, namun bergantung besar kepada rahmat Ilahi.

Kita ambil satu analogi. Seorang pelajar jurutera yang ingin menduduki peperiksaan. Pada malam berikutnya, dia mengambil minuman tenaga agar diberi tenaga lebih untuk tidak tidur dan mengulang kaji pelajaran. Andai untuk mengharungi ujian yang dicipta manusia pon kita perlukan tenaga lebih, apa pula ujian Allah yang berterusan ini? Di situ datangnya doa. Doa yang berterusan lah tenaga kita yang berpanjangan, lebih kuat tenaganya andai dibuat pada tengah malam berserta air mata.

Jangan biarkan diri kita terus terleka. Saban hari kita melihat manusia pergi tanpa sempat bertaubat. Alangkah ruginya kita jika termasuk dalam golongan ini. Namun bukan golongan ini sahaja yang rugi. Mereka yang berlari dengan memikirkan kudrat mereka sahaja sudah cukup untuk membawa mereka ke syurga. Sedang mereka silap. Umpama mereka berlari menaiki anak tangga yang beribu, namun lupa untuk membawa kunci kepada pintu. Kerana kunci pintu syurga adalah rahmat Allah, inilah hakikat.

Jadi buat kita semua yang dalam perlumbaan, teruskan larian. Buat mereka yang sering jatuh jangan bersedih, Allah bersama kalian. Tajdid niat kembali, lakukan ini semua kerana Ilahi. Berubahlah walaupon bukan mudah, berlarilah berlawan penat dan lelah. Jangan kita terlalu leka dengan dunia, kerana usia kita terlalu singkat. Sedarlah, dunia adalah penjara mukmin dan syurga kafir

 Tetiba teringat quote yang sering diulang masa di sekolah dulu "Mujahadah itu pahit, kerana syurga itu indah"

Buat pendosa, harapan masih ada!

Monday 20 October 2014

Marhaban ya maut !

 Bismillah pembuka bicara, kef haluk kepada semua ?

Alhamdulillah ana bikheir selepas minggu yang penuh dengan dugaan. Tanpa sedar, minggu demi minggu berlalu. Makin hari makin meningkat usia, makin matang pemikiran tapi adakah makin matang Iman kita ?

Minggu lepas minggu yang penuh dugaan. Dengan mid term chemistry pada hari selasa, ada draft essay 6 page untuk philosophy due by rabu and ada hw module ChemE yang sangat susah jugak pada hari rabu. Semuanya dibuat dengan cepat dan kelam kabut demi nak sempatkan diri ke berkhemah di Montgomery Bell State Park. Alhamdulillah, Allah mudahkan semua jalan dan masih lagi berdiri hari ni. 

Sungguh, sepanjang bercamping, indah sungguh rasanya. Kagum dengan ciptaan Allah. Walaupon amat sejuk, dapat rasa suasana ukhuwah tu walaupon baru je kenal beberapa bulan bersama senior dan kawan sebatch. Dapat rasakan macam mana nak survive walaupun dalam suasana yang sangat susah dan tak memihak kepada kita. Harapnya ini dapat bantu dalam kehidupan seharian.

Tapi apa yang terkadang membuat diri hiba contohnya apabila nampak sesuatu yang sangat menakjubkan, bukan perkataan 'subhanallah' yang keluar dahulu. Bila dapat nikmat selimut, bukan 'alhamdulillah' yang keluar dahulu. Sedihnya hati ini bila makin pantas masa berlalu, makin hati ini sedar jauhnya diri dengan Sang Khaliq. Patinya terlalu banyak dosa yang menghijabkan hati ini. Patinya terlalu banyak tompok hitam 'menghiasi' qalb insan lemah seperti ku ini. Allahu susahnya mujahadah yang ku idamkan tu ya Allah. 

Seringkali kita berbuat dosa dan kita rasa menyesal. Ambil la analogi bertaubat ini seperti anda membuat typo. Bila anda buat typo, seboleh awal kita edit atau delete supaya tidak diketahui orang ramai. Setiap kali menulis kita cuba berhati hati agar tidak terbuat typo. Cubalah anggap dosa yang kita lakukan begitu, cepat cepat bertaubat setelah melakukan dosa dan sentiasa menjaga tingkah laku kita agar tidak membuat 'typo' amalan kita. Jaga la diri daripada 'typo' bahaya ini kerana takut 'isi' ibadah kita tidak sampai pada sang Pencipta.

Benar seorang mukmin itu tidak jatuh pada lubang yang sama. Namun aku sedar iman aku ini terlalu banyak turunnya. Bukan KAU sorang sahaja rasa begitu. Moga usaha kita berlawan dan bertarung ini diganjarkan Allah dengan hadiah terbaik iaitu Khusnul Khatimah. Jangan kau sesekali mengambil keputusan untuk mengaku kalah! Keran itu bukan salah satu daripada pilihan kau. Bukankah Allah berfirman bahawa tiada yang berputusa asa daripada rahmat Allah melainkan orang kafir ? Sudah, berpijaklah engkau di bumi nyata. Allah itu lebih besar daripada dosa terbesar engkau, pastinya keampunanNya juga lebih besar dan merangkumi seluruh alam

Pada Khutbah Jumaat dua minggu lepas, aku tertarik dengan kisah ini. Sang Khatib di sini tanpa teksnya menceritakan sebuag kisah mengenai seorang arab badwi. Bila dia bertanya 'ke mana aku akan pergi selepas mati?'. Maka sahabat menjawab kau akan bertemu Allah. Maka si badwi menjawab pula ' andai maut ini membawa aku kepada kekasihku, maka Marhaban Ya Maut!'. Allahu tidakkah kau impikan cinta suci sebegini ? Indhanya bila hati ini diisi dengan cinta suci kepada Allah. Hati tenang tiada resah. Dunia ini cuma mainan tidak dikesah. Moga kau, aku dan semua dapat merasainya.

Aku menulis agar ingatan untuk diri yang dhaif ini, yang sering jatuh setiap kali cuba berlari. Akh waqiuddin kata ada 4 tahun untuk berubah satu tempoh yang lama, namun bagiku 4 tahun sekejap jika jatuh dan bangun itu tidak tetap. Namun besar mana dosa kita, ingatlah , Allah berfirman " bersegeralah dalam memohon keampunan tuhan kamu, dan Syurga yang seluas langit dan bumi disediakan buat mereka yang bertaqwa". Moga kita tergolong dalam mereka yang bertaqwa. Taubat dan Typo

Wednesday 8 October 2014

Jalan ini susah? Jalan ini susah.

                               Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyanyang

     Kef halukum? Ehehe lama dah tak bukak blog ni. Eh lama ke ? Lama lah. Last post aku masa tuh aku sorang je batch aku di luar negara, sekarang dah ramai helang as-siddiq membuka sayap dan bertebaran di muka bumi. Alfun mabruk ya asdiqa' !

     Alhamdulillah, masih berdiri. Walaupun ujian datang bagai dedaun gugur di musim luruh (ecewah), tapi masih boleh berfikir dengan rasional dan hikmah. Entry kali ini, nak cerita sikit pengalaman 3 bulan di jalan ni. Jalan apa? Jalan belajar bumi orang, jalan belajar di bumi Barat, jalan belajar dalam adat berbeza, jalan Vanderbilt University. 

    Bila cakap pasal pengalamanm, taktahu mana nak mula. Semua orang fikir belajar di luar negara indah indah belaka. Sangat silap la fikir macam tu. Tapi niat aku nak ke negara ni dah pasang lama, Alhamdulillah Allah mudahkan jalan ke sini dan ada kat sini dah pon. Dari segi akademik, toksah cerita strugglenya. Dikelilingi denga budak budak top spm malaysia ni kompem la satu dugaan, ditambah pulak gred di negara ni memang tinggi. 100%-98% tu A+, 97%-94% tu A,93%-ke 90% tu dah A-. Subhanallah mahu tak nangis nengok benda ni. Dulu kalau dapat 70 pon bersyukur sungguh dapat A-. Sekarang nak kena capai A- tu pon boleh tak tidur malam. Tapi tu aku la, kalau nak gred tinggi kena belajar lebih masa, lain la orang yang tidur main game dapat A+ tu cerita lain.

    Sejak hari ni, dah dua kali aku test calculus dan sekali test chemistry. Alhamdulillah, eventho aku rasa tak memberansangkan tapi syukur je la kepada Allah. Masa dapat result test calculus mesti sedih, bila tengok kawan ada yang dapat markah 100 dan ada jugak yang lebi daripada tu (extra credit) mula la kau nak mengeluh nak give up dbg tapi kau tahu, apa yang Allah bagi itu la yang terbaik untuk kau, itulah cermin untuk apa yang kau usahakan.

    Aku ada kawan orang sini, nak kata ramai, tipula. Nk kata sikit pon tak jugak. Masih boleh dibilang jari, tapi aku nampak dorang ni tak kesah sangat bab grade, dorang punya style tak sama dengan kita. Senior kata orang sini kalau pandai memang pandai sungguh, kalau tak pandai memang tak pandai sungguh. Orang sini aku perhati je setiap malam ada je partynya, bali malam malam mabuk. Tapi bila exam, takde teruk mana pon. Sungguh aku kagum.

     Dalam satu group kecik kami bercampur dengan orang sini ada bincang, apa sebenarnya yang buat orang berjaya. Dan ada satu video ni sebut perkataan grit. Kami pon bincangkan apa itu grit. Bila dia tanya dekat aku apa maksud grit aku pon respond la "grit is somehow similar with passion. You don't choose yur career based on sallery, but based on the things that you love doing. It doesn't matter how much you fail, but how you are willing to get back up and fight again". Mereka pon bersetuju dan katakan itu respond yang baik, tanpa mereka sedar aku amik ayat last tu terjumpa masa scroll timeline fb je hahaha. Soalan kedua mereka apa yang mendorong aku ? " What motivates me the most is to help my parents. They worked so hard to raised me and it is my responsibility to help them back" mereka pon bersetuju. 

    Sungguh jalan ni bukan mudah, ambik masa nak adapt belajar di negara orang. Daripada biah solehah di kisas kepada biah apa entah di sini. Satu yang aku perasam, andai kata kau tak cuba untuk mujahadah, maka hanyut la sampai bila bila. Tapi andai cuba untuk sibukkan diri dengan benda benda rohani, insya Allah masih teguh la walaupon dilanda taufan yang kuat.

    Kekadang menyesal tak pilih jalan ni? Sungguh la kekadang terfikir macam tu jugak. Kekadang terfikir baik amik UIA gambang dulu, tak pun apply sambung jordan atau mesir. Takpun pergi sambung pondok belajar agama. Tapi bila aku fikir balik, teringat zaman plkn. Entah kenapa aku dapat plkn. Tapi bila berfikir secara rasional, Aku sedar Allah hantar aku ke plkn bersebab, untuk membantu orang. Jadi aku sedar aku ke sini pon ada sebabnya, ada hikmahnya. Maka aku sendiri kena cari hikmah tu. Mungkin Allah nak ajar aku hidup berdikari. Mungkin ini ujian Allah untuk teguhkan lagi iman aku. Mungkin Allah nak aku temu dengan insan hebat hebat di sini. Akan ku cari ibrah itu nanti insya Allah.

    Datang beribu batu jauh, harapan di bahu pon beribu batu juga beratnya. Memikirkan short term dan long term goal pon dah cukup pening kepala. Tapi apa pon tajdid balik belajar niat kerana Allah nak menuntut ilmu ni. Menuntut ilmu ni nak bantu ummat, majukan ummah. Sambil sibuk belajar, jangan lupa suap makanan rohani sekali, join usrah dan halaqah, baca buku agama dan tengok kuliah yang ada dekat internet. Akademik no 1, tapi benda rohani bukan no 2. Engineer memang dah ramai dekat Malaysia, tapi yang mampu kuasai bab agama sekali memang sikit. Usahakan.


    Niat nak tolong balik mak ayah yang berkorban bersusah payah membesarkan kita sampai dari kecik sampai besar, sambil kita merancang dan belajar tanpa kita sedar mereka juga sedang meningkat usia. Datang sini sebab taknak susahkan mereka malah bantu sedaya mampu sama ada dari sini ataupon bila dah balik nanti. Memang takkan termampu balas jasa mak yang mengandung 9 bulan, menjaga mendidik mentarbiah kita sejak kecik. Memang takkan termampu balas jasa ayah yang berpulas mencari nafkah mencari setiap peluang yang ada untuk memastikan anak anaknya semua menjadi orang yang berguna dan berjaya dunia akhirat, tapi sedikit sebanyak segulung ijazah mampu membuat mereka rasa peluh keringat mereka selama ini bukan sia sia. Dan senyuman mereka dan pandangan mata mereka itu mampu buat mana anak sekalipon untuk menangis terharu. Anakmu ini bukanlah yang terbaik yang seseorang mampu dapat, tapi anakmu ini sangat bersyukur dapat mak dan ayah sehebat sekalian. Moga syurga buat kalian. Anak mu ini cuma harapkan kalian mendoakan si bongsu yang jauh ni. Doa semoga dapat menempuh kehidupan di sini dengan jayanya, doakan dapat jadi manusia, dan doakan supaya anak mu ini menjadi yang soleh, agar seorang anak yang soleh mampu mendoakan kedua ibu bapanya. Salam rindu dari Nashville ! 

     
Jalan ini susah? Jalan ini susah. Tapi takde siapa kata jalan ni mustahil
     






Sunday 31 August 2014

Andai ayah terlambat 5 minit ?

S.A.B.A.R.

Persoalan.
Bilakah kita bersoal ? bila bila sahaja. Bagus ke ? Entah , kata pemuda A . Kata pemuda B pula , bagus untuk kita bersoal tapi tengok la pada tempat , platform dan masa .

Eh , 
Syok pulak dengan jawapan sang pemuda B. Menarik , sila terangkan lagi . Kata pemuda B , bagus untuk kita bersoal , contohnya dalam pelajaran , apa yang kita tak faham jangan belajar sorang sorang maka eloklah kita bertanya apa yang kita tak faham . Kemudian apa lagi ? Kita sering timbulkan persoalan bagaimana satu benda itu boleh berfungsi dan sebagainya . Maka ini juga satu persoalan yang baik untuk mengembangkan lagi fikiran kita.

Maka , ada ke persoalan yang tidak baik ? Hmm .

Mcm mana pulak kalau kita persoalkan takdir ? Kita pertikai apa yang pernah terjadi . Maka kita persoalkan  penentu segala takdir , Allah . Salahkah kita ?

 Bukankah ada hadis qudsi yang mafhumnya lebih kurang

"Aku adalah sangkaan hanmbaku terhadapku"

Kita ni semua dah belajar rukun Iman . Beriman pada Qada' dan Qadar pulak adalah salah satu daripada 6 perkara tersebut . Maka tanya diri balik , bila kita persoalkan balik setiap musibah yang menimpa diri kita tu , soal balik diri sendiri , kita ni beriman ke tidak dengan Qada' dan Qadar Allah ? 

Bukankah Allah itu sudah menciptakan yang terbaik untuk diri kita . Andai kata aku ciptakan xbox . Pastinya aku simpan rahsia daripada orang apa yang aku tahu lebih daripada orang lain . Aku tahu selok belok setiap benda mengenai xbox . Tidak boleh orang nak pertikaikan kerana aku yang cipta xbox , setiap hujah boleh aku patahkan kerana aku tahu apa yang aku cipta

Sekarang make sense tak ? Siapa pencipta kita ? Allah . Maka bukankah Allah tahu apa yang terbaik untuk diri kita ? Bukankah Allah tahu setiap selok belok hati kita , apa yang kita suka , apa yang kita lemah ? Jadi bersabarlah dengan segala ujian yang mendatang

Jika setiap kali engkau ditimpa musibah , ingatlah Allah berfirman boleh jadi apa yang kau suka tu bukan yang terbaik untuk kau dan apa yang kau benci itu lah yang terbaik untuk kau . Maka ada sebab dan hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku , di sebalik setiap apa yang terjadi .

Mungkin hari ni , kau bersedih , apa yang kau rancang tak menjadi . Engkau ditimpa musibah dan engkau rasa sangat sedih . Tidakkah engkau percaya bahawa di hujung setiap kesabaran itu Allah sediakan sesuatu yang indah ?

Andai ayah terlambat 5 minit . Eh ?

Pernah aku terdengar sebuah cerita , di mana sang isteri ketika muda dahulu hendak melintas jalan di hadapan banggunan tempat kerjanya . Ketika hendak melintas , tiba tiba kereta laju hampir melanggarnya . Alhamdulillah perempuan tersebut tidak parah keadaannya dan datang seorang lelaki membantunya . Dan lelaki tersebut la yang menjadi suaminya sekarang dan mempunya ramai anak yang berjaya .

Bayangkan jika lelaki tersebut terlambat 5 minit dan engkau salah seorang daripada anak mereka . Maka kau sebagai anak kepada mereka mula persoalkan adakah kau rasa kau akan berada di dunia sekarang ini ? mereka tidak pernah bertemu dan semua yang kau tahu sekarang ini mungkin tidak pernah berlaku

Namun tidakkah kau nampak bahawa selepas sang isteri tersebut dilanggar kereta , ditimpa ujian dan musibah , namun Allah temukan dia dengan seorang yang hidup bersamanya dan membina sebuah keluarga bahagia . Allah hadiahkannya dengan seorang pendamping yang hidup bersamanya tika susah dan senang . Dikurnikan zuriat yang menghiburkan hati dan mendoakan kebaikna buatnya . Jadi janganlah kau persoalkan ujian yang mendatang , kerana ilmu kau terbatas untuk perkara sekarang . Allah tahu apa yang terbaik untuk diri kita , bersabarlah meneriman ujian .

Setiap kali kau buntu , dihimpit ujian , dihimpit dengan kerja atau assignment yang bertimbun , dihimpit dengan pilihan yang bukan kau nak . Balik la kembali kepada Allah . Istikharahlah dan musyawarrah . Bawak berbincang dengan mereka yang ahlinya . Mungkin ada baiknya apa yang terjadi , mungkin apa yang kita rancang tu bukan yang terbaik kerana Allah lebih mengetahui . Bersabarlah dan utamakan pilihan Allah . Mungkin bukan aku yang terbaik

Sabar itu separuh daripada iman , teringat kawan pesan masa sekolah rendah dulu . Bila dia dah ambik songkok kita dekat sekolah agama dan dibaling balingnya , maka dia kata begitu . Pada masa itu , kau tak nampak apa betulnya . Bila kau meningkat dewasa , benarlah kau tahu sabar itu separuh daripada iman

Kerana iman atau percaya itu perlukan kesabaran . Mungkin kau ditentang dengan agama yang kau pegang , mungkin kau sedih dengan ujian yang mendatang . Maka andai kata engkau bersabar , bukankah kau sudah beriman dengan takdir Allah ? Maka indah sungguh bersabar

Wahai diri , sentiasa lah ingat untuk bersabar kerana Allah berfirman, Allah sentiasa dengan orang yang sabar . Walau engkau sedih , tiada tempat mengadu , sedarlah bahawa Allah mendengar . Bila kau rasa apa yang dirancang seolah tidak menjadi , ingatlah Allah yang maha adil dan mengetahui . Mungkin diri ini bukan yang terbaik , mungkin dosa sendiri banyak hijab perkara yang terjadi . Maka sabarlah , kerana Allah tahu . Allah tahu apa yang kau rasa . Maka pendamlah , biar membakar dirimu , kerana panasnya itu membuatkan engkau lebih dekat dengan Allah . Maka berdoalah , kerana doamu itu membuatkan Allah lebih sayang dengan mu . Sentiasalah bersangka baik dengan Rab mu

Maka ,bersabar lah wahai diri , simpan , pendam dan doa . Kerana engkau bukan berada pada platform untuk memberi respon atau komen . Kerana kau syabab biasa . Yang kau ada cuma doa sebagai senjata

Di sebalik setiap kesabaran itu , Allah sediakan sesuatu yang indah . Percaya !

Saturday 23 August 2014

Bismillah

First entry , fuhh .

Skip muqaddimah, takda yang special pon.

Niat dah simpan lama nak buat, menunggu masa. Rasanya ni la kot masa terbaik. Alhamdulillah dah 3 atau 4 hari kelas bermula. Semua masih berjalan lancar, kerja yang bergunung dapat disiapkan, slang selatan atau koboi lecturer semua masih dapat ditangkap dan ada la kawan kawan american yang masih boleh dihitung dengan jari eheh.

Tapi hari kedua haritu memang rare la, dapat Teaching assitant untuk subject 155A(calculus 1) dari sweden. Nah ambik kau, slang bukan main berat lagi. Dapat pulak dia ni mathematician, sampai factorise pon disuruh prove nya hahah. Tulisan dia Allahu, yang S tak rupa s,dah nak habis kelas baru sedar tu S . Tapi apakan daya, semua benda ada hikmahnya kan? Kalau semua benda nak senang pon takleh la. Kalau tak lalui kesusahan , macam mana nak kenal Tuhan

Betul tu, aku setuju sangat dengan statement ni. 

Kalau selama ni hidup kau mudah, tak pernah alami kesusahan, macam mana kau nak kenal Tuhan? Fitrah manusia la, bila susah sikit baru nak ingat tuhan. Sedang selama ni nikmat yang kau dapat berterusan contoh oxygen tu takda pulak nak kau sebut alhamdulillah sepanjang masa

Kalau semua yang kau hajatkan kau dapat, bila kau nak belajar erti ikhtiar?
Kalau semua kau ikhtiarkan kau dapat, bila kau nak belajar erti sabar ?

Percayalah, setiap insan tak dibebankan apa yang dia tak mampu. Aku duduk sini dikelilingi insan insan genius yang aku sendiri taktahu nak describe. Rasa kerdil. Rasa lemah. Mungkin kita kata awal lagi, tapi mungkin dari awal pon kita dah boleh nilai? Siapa tahu kan

Jujurlah semuanya bukan mudah. Suasana berbeza , di sekolah terbiasa dengan biah solehah. Sampai sini memang la nak ghaddul basar (tunduk pandangan) tapi takkan kau boleh pandang ke lantai selamanya bukan? 

Tapi ambik masa lama untuk aku sedar, mesti ada hikmahnya. Lagi aku jauh dari zon selesa aku, akan ada dua keberangkalian, sama ada aku makin dekat dengan Allah, atau makin jauh sejauhnya wa iyazubulillah.

Setiap kali aku rasa macam sengsorang, rasa lonely tu sebenarnya Allah nak aku lagi dekat dengan dia. Sebab kengkadang duduk dengan kawan banyak sangat gelak, banyak sangat lagho. Jadi aku masih bersyukur, masih ada lagi suluh cahaya malap dalam diri

Hidup di bumi perantauan bukan mudah, tambahan negara barat. Akademik perlu dirisaukan, tapi diri pon taknak la asik sibuk study. Aku masih mencari macam mana nak buat. Tapi aku ni fikir banyak sangat. Masih lagi mencari identiti diri. Siapa aku nak jadi

Tapi masalah aku paling besar adalah bab self esteem. Selalu pandang rendah pada diri sendiri. Kalau perasan aku akan kekadang ulang perkataan maaf banyak kali. Kalau dekat sekolah dulu ada teman bercerita, ada sahabat hebat hebat untuk nasihatkan, sekarang masih ada mereka, tapi terhubung dengan doa je insya Allah.

Bukannya selama ni aku tak pernah lalui kesusahan. PMR , SPM tu pon bukannya senang. Tapi Alhamdulillah sekarang masih hidup lagi to tell the tale. Firman Allah, Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat . Allah bersama dengan orang yang bersabar. Allah jugak berfirman dalam surah yusuf suruh kita jangan berputus asa dari rahmat Allah sebab yang putus asa ni sek sek orang kafir je. Kafir ke kita? Jadi jangan putus 

Perjalanan 4 tahun ni takkan dibentang dengan karpet merah, malah sangat susah. Teguh pendirian teguhkan matlamat, insya Allah selamat. Allah akan tolong mereka yang bantu agama Allah dan selalu ingat hadis nabi, Jagalah Allah, Allah akan menjaga kamu .

Point terakhir sekali, ingatlah siapa tuhan kita. Tuhan la tempat dituju setiap kali ada masalah. Kan Allah tuh Maha mendengar. Jadi sangatlah tidak adil untuk kita update status fb atau tweet yang kita ni sedih atau ada banyak masalah sedangkan kita tidak mengadu pada Allah dulu. Siapa tuhan kita ? Allah ke facebook? Panjangkan sujud dalam solat , luahkan pada Allah. Insya Allah diri akan sentiasa tenang. Kan hanya dengan mengingati Allah hati akan jadi tenang ? Fasbir !

 Tapi sebelum habis, aku nak terang kenapa aku guna term 'helang' tu. Budak sekolah aku je faham. Innal bughatha biardhina yastansir . Sesungguhnya pipit di bumi kami sudah menjadi helang. 

Harap Allah redha